Thursday, September 3, 2009

Ustazah tidak Solat?


Semasa aku berada di Tingkatan 4 seorang Ustazah baru, mengajar kami subjek Pendidikan Al-Quran dan Sunnah. Suatu hari dia bercerita..
"Dulu saya seorang yang selalu mengabaikan lima waktu.."

Hati mula terdetik, bagaimana seorang ustazah tidak mengendahkan solat? Kemudian, dia menyambung lagi;

"Tapi semuanya berubah ketika saya belajar di institusi pengajian tinggi. Kerana satu peristiwa, Taufiq dan Hidayah Allah akhirnya bersemi di hati. Saya ada seorang kawan yang menunaikan solat lima waktu sehari semalam. Suatu hari, apabila sering melihat saya tidak solat, kawan saya menyuruh saya untuk cuba bersembahyang, cukup 5 waktu, selama seminggu sahaja …subuh, zohor, asar, maghrib dan isyak hanya selama tujuh hari.."

"Saya sahut cabarannya untuk menilai sejauh mana keberkesanan solat itu. Selama seminggu saya lengkapkan solat 5 waktu tanpa meninggalkan satu waktu pun, akhirnya pertaruhan itu selesai. Namun, saya mula rasa janggal apabila tidak menunaikan solat. Rasa bersalah datang kerana berasa adanya Tuhan yang sentiasa memerhati tingkah hambaNya… sejak hari itu, saya tunaikan solat dengan sempurna.."


Demikianlah cerita Ustazahku tentang bagaimana dia mula menunaikan solatnya. Dia bercerita pada kami semua untuk sebuah pengajaran yang amat berharga agar lahir lebih ramai insan yang sedar tentang peri pentingnya solat lebih awal. Cerita yang mudah dan ringkas untuk dihadam oleh minda remaja sebayaku. Malah membawa bersama seribu pengertian.


Saudaraku, dalam solat saja ada pelbagai hikmah yang Allah sediakan. Kalau benar kita mencariNya ketika solat, insyaAllah kita akan bertemu danganNya malah dengan menyerahkan segala jiwa dan raga hanya untuk Tuhan Yang Esa saat kita mengucapkan

"Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, matiku hanya untuk Tuhan semesta alam..."

Begitulah antara hikmah solat. Kerana itulah Allah tidak akan membiarkan usaha hambaNya sia-sia.. Siapa yang mencari keredhaanNya, InsyaAllah akan dapat. Bahkan, kalau kita perhalusi dengan lebih dalam, kita akan mendapati bahawa solat itu tidak hanya rukun Islam iaitu syahadah, solat, puasa, zakat dan haji tetapi juga Iman, Islam dan Ihsan. Andai mahu dihuraikan hikmah solat itu satu-satu, tak terdaya bagiku untuk menterjemahkan ia kepada kata-kata.. Saudara mungkin boleh baca beberapa buah buku yang menceritakan tentang hikmah solat. Antaranya Rahsia Keutamaan Solat Subuh yang ditulis oleh Sheikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Marki..

Secara ringkasnya,lihat saja pada cerita di atas, walaupun ringkas tapi hikmahnya amat besar. Hanya bermula dengan sehari 5 waktu selama seminggu, sehingga kini solat ditunaikan dengan rasa redha di hati.Tanpa ada paksaan, tanpa ada desakan, kita akan berasa ada satu kuasa besar yang Mentadbir alam ini, yang Mengusai Hari Pembalasan. Mahukah kita pada akhir zaman nanti, kita berdiri sebagai hamba yang leka pada Rukun Islam? Padahal kita hidup sebagai orang Islam yang mengaku beriman. Namun iman hanya dilafazkan oleh mulut tanpa dizahirkan oleh amal. Lalu sanggupkah kita menerima 'dairi' hidup pada tangan kiri? Jika tidak, maka sujudlah pada Pencipta yang lebih berhak ke atas setiap hambaNya. Nescaya kita akan terpelihara daripada sifat-sifat mazmumah.. InsyaAllah..


Kisah ini bukan saja menceritakan tentang hikmah solat. Tetapi juga tentang dakwah. Dakwah secara halus yang menuntut orang agar merasai dan berfikir sendiri tentang hikmah dan perbezaanya. Mungkin bagi orang seperti Ustazahku ini, menggunakan kaedah seperti biasa (yakni usrah atau ceramah) kurang berkesan.. Kerana sebelum berubah, dia sendiri sudah tahu tentang kewajiban solat tapi sering juga mengabaikannya. Hanya melalui pengalaman atau praktikal, barulah hatinya akan terkesan dengan kebenaran. InsyaAllah.. Sekalipun begitu, Taufik dan Hidayah itu adalah ilham dari Allah. Banyakkanlah berdoa..

Allah berfirman dalam Al-Quran:


"Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al Kitab (Al Qur'an) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadah-ibadah yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan."


(Al-Ankabut:45)




InsyaAllah.. Semoga perkongsian yang sedikit ini memberi manfaat. Sebagai makluman, cerita di atas telah diubah melalui struktur ayat dan penyampaiannya daripada cerita sebenar. Namun, isinya tetap sama. Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment