Saturday, January 16, 2010

Biar Kalam Berbicara 1


Kalam Allah
Bukan kalam sebarang nukilan
Kalam penuh hikmah, penuh keberkatan
Kalam panduan sepanjang zaman
Terpelihara daripada pendustaan
Bacalah, fahamilah, hayatilah dan amalkan
Nescaya hidup akan terjamin

Sedikit pesanan untuk diri dan sahabat sekalian; Siapa yang dah lama tinggal baca Al-Quran, bukalah kembali BUKU yang penuh hikmah itu. Jangan biarkan Al Quran tersadai sebagai bahan perhiasan kerana haknya adalah untuk dibaca. Maka, apakah yang anda akan katakan andai Al Quran itu menuntut haknya kelak?

Saya tinggalkan saudara dengan soalan ini... Semoga berjaya mencari jawapannya.

Wallahu'alam..  

Wednesday, January 6, 2010

Berdua? Ketiganya Syaitan.

Sebenarnya ini adalah assignment tentang langkah mengatasi budaya berdua-duaan dalam kalangan pelajar universiti. Tapi, aku tersalah tajuk. Sepatutnya aku buat peranan talak. huhu.. apapun, aku telah modified sedikit agar sesuai untuk aku paparkan dalam SuteraHikmah.


Ini cerita tentang langkah mengatasi. Bukan cerita tentang sepasang kekasih..




Titt.. titt.. 1 message received.

Bunyi mesej masuk mengatakan kerinduan pada sang kekasih. Lalu ingin bertemu dua jiwa agar berkurang resah di hati. Maka, terjadilah pertemuan di antara dua orang yang bukan mahram. Mereka inilah yang selalunya memeriahkan suasana taman bunga, kompleks membeli belah, restoran, pantai peranginan dan tak kurang juga bagi mereka yang memilih tepian jalan sambil mengira orang yang lalu lalang.

Peristiwa seperti ini banyak berlaku dalam kalangan remaja. Apatah lagi dalam kalangan pelajar universiti yang sudah kurang terikat dengan peraturan sekolah dan pemerhatian yang ketat oleh ibu bapa. Lantas, apa langkah yang paling sesuai untuk membendung budaya yang semakin menular khususnya dalam kalangan umat Islam?

Mari hayati sebentar sabda Rasulullah saw,

Janganlah seorang lelaki duduk berdua-duaan dengan seorang perempuan yang tidak halal baginya, maka sesungguhnya orang yang ketiga yang akan bersama-sama mereka ialah syaitan kecuali jika bersama mereka seorang muhrim”
(Riwayat Ahmad, 3:446. Lihat al-Shaukani, 6:126)

Pengertian hadis di atas dipetik dari buku Undang-undang Keluarga Islam tulisan Dr. Mat Saad Abd. Rahman.

Nak tegaskan di sini, mereka yang berdua itu memang suka berkawan dengan syaitan. Huhu.. Banyak-banyak teman, syaitan juga nak dijadikan teman kan… hati-hati dengan teman ini. Kerana Allah telah berfirman dalam al Quran;

"….. Barangsiapa yang menjadikan syaitan sebagai temannya, maka (ketahuilah) dia (syaitan itu) adalah teman yang sangat jahat."
An Nisa : 3

Allah dan Rasulnya telah jelas memberitahu mara bahaya bila berdua. Malahan budaya berdua menghampiri zina. Tapi orang yang buta dan tuli hatinya selalu saja buat-buat tak tahu. Jadi, macam mana nak atasi masalah rasa ingin berdua ini?  

Ibarat pepatah mencegah itu lebih baik daripada mengubati, membendung budaya ini haruslah dilakukan sejak usia masih muda. Memarahi mereka yang terlibat setelah dewasa mungkin adalah langkah kedua kerana budaya mengambil masa yang agak lama untuk sebati dengan jiwa seseorang. Namun andai budaya berdua-duaan ini dilihat sejak kecil tanpa ada pemberitahuan bahawa budaya itu adalah salah, hasilnya adalah apa yang kita lihat pada kebanyakan siswa-siswi dewasa ini. Masing-masing mempertahankan dengan seribu alasan bahawa apa yang mereka lakukan adalah tidak menyalahi syariah Islam.

Melentur buluh biarlah daripada rebungnya, kita yang lebih dewasa dan lebih memahami hukum syarak, berilah contoh yang terbaik kepada golongan muda. Hal ini kerana kanak-kanak merupakan pemerhati dan pendengar yang amat prihatin. Justeru, perlihatkanlah dan perdengarkanlah kepada mereka sesuatu yang baik dari segi agama.

Bagaimana pula langkah mengatasi masalah berdua-duaan ini, andai dua jiwa sudah terlanjur berkenalan lalu hati pun sudah berkenan? Al-Quran dan Al-Sunnah telah meletakkan garis panduan yang lengkap dalam perhubungan sesama manusia. Hayati sejenak sabda Rasulullah saw ini:

Hai orang-orang muda, sesiapa di antara kamu yang mampu berkahwin maka hendaklah dia berkahwin kerana ia (iaitu perkahwinan) itu dapat mengawal mata dan kemaluan. Barangsiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana ia (iaitu puasa) akan menjadi penjaga baginya”

(Riwayat al-Jama`ah termasuk al-Bukhari, 9:357. Lihat al-Shaukani, 6:113)

Pengertian hadis di atas dipetik dari buku Undang-undang Keluarga Islam tulisan Dr. Mat Saad Abd. Rahman.

Berdasarkan hadis di atas, maka jelaslah bahawa langkah pertama adalah berkahwin. Namun, bagaimana pula andai statusnya masih seorang pelajar dan belum berkemampuan untuk berkeluarga? Maka jalan keduanya, berpuasa. Andai tak mampu bertahan dengan puasa, maka berhati-hatilah dengan hati anda. Mungkin anda menghidap penyakit hati berlubang! Mohonlah kepada Allah yang Maha Pengasih agar dipelihara hati.

Selain itu, bergaul dengan orang yang soleh. Aku ada cerita tentang seorang kawan. Seorang lelaki. Ahli biliknya ada kekasih hati. Maka, selalulah ahli biliknya keluar berdating. Tak cukup dengan itu, siang malam bergayut dengan telefon. Kawan aku ni pula rasa jealous. Lalu dia pun rasa nak berdua juga. Maka mulalah dia mencari. Akhirnya, kini aku selalu melihat kelibatnya berdua dengan kekasih hati di café. Bukan setakat breakfast, lunch and dinner. Kadang-kadang supper time pun masih di tempat yang sama. Pernah aku nasihati. Tapi rasanya nasihat itu tak pernah masuk pun ke dalam cip memorinya. Hmm.. Lihatlah, pengaruh orang di sekeliling kita..

Sebenarnya banyak jalan keluar daripada rasa ingin berdua. Ini hanya sedikit. Cuma orang saja tak ingin ambil tahu. Terutamanya bagi mereka yang mengistilahkan diri mereka sebagai 'couple'.  Malahan, mereka ini sanggup buat pengumuman pada sahabat handai dan tak terkecuali di 'alam maya' -facebook misalnya- seolah-olah nak bagitau pada semua org; dia milikku, jangan dicoba untuk merampasnya!!

Agama dan adat kita sendiri sudah menetapkan, risiklah andai ingin mengambil tahu tentangnya, kemudian bertunanglah untuk memberitahu bahawa dia bakal engkau miliki, dan akhirnya nikahilah untuk memberitahu bahawa dia adalah milikmu. Barulah layak untuk anda membuat pengumuman; dia milikku, jangan dicoba untuk merampasnya!!
  
Sekian saja untuk kali ini. Wallahualam..

Saturday, January 2, 2010

Hikmah Suatu Kehilangan




Lama aku tak melawat blog aku sendiri. Bukan aku ingin mengabaikannya, namun ada masalah yang tak dapat dielakkan. Pertama, exam semester lalu yang menuntut lebih perhatian dan bersambung pula dengan cuti semester yang tak mengizinkan aku untuk online seperti selalu. Seminggu sebelum kembali ke USM, aku format laptop. Walaupun kini laptop berfungsi dengan lebih baik, namun file-file tempat aku simpan segala idea untuk SuteraHikmah ini terpadam. Hmm.. Walaupun hanya sebuah tulisan, aku tetap rasa kehilangan. Dan kini, aku belum berfikir lagi apa yang ingin aku letakkan dalam ini. Hanya sekadar coretan ini.


Setiap orang akan merasa kehilangan bukan? Kerana kita ada memiliki sesuatu. Keluarga, sahabat, kekasih, perasaan dan segala yang kita sayangi semuanya akan hilang dalam sedar atau tidak. Cuba kira, berapa banyak kita kehilangan selama ini… kalau bagi sepasang 'merpati' yang penuh dengan kasih sayang. Apa kan berlaku bila hilang kasih sayang itu? Sayang bertukar benci? Atau seribu lagi merpati akan datang? Hmm.. Aku sendiri tak tahu. Mungkin pepatah ini berguna: Patah tumbuh hilang berganti.

Seorang pensyarah physics aku pernah bertanya dulu;

"Yang mana lebih kuat dan teguh.. Tangan yang asal ini, atau tangan yang sembuh setelah patah?"

Kami dengan penuh keyakinan menjawab tangan yang asal.

"salah! Tangan yang sembuh dari patah itu lebih kuat kerana cell baru yang terbina…"

Aku si pelupa. Ingat sampai sini saja cerita itu. Lupa apa yang terjadi pada cell itu dan apa yang menyebabkan ia menjadi lebih kuat. Nampaknya telah hilang sedikit ingatan.. Hehe.. Maaf Mr. Physics..

Ada benarnya. Orang yang telah berhadapan dengan kehilangan, lalu sembuh dari kehilangan, akan mampu mengawal perasaannya apabila datang lagi sebuah kehilangan. Apatah lagi kehilangan berkali-kali. Bermakna, dia lebih tabah.lebih kuat. Bukankah pengalaman itu adalah guru yang paling hebat? Walaupun caranya agak menyakitkan.

Cukup saja sampai di sini tentang kehilangan. Aku nak beralih sedikit kepada apa yang ada. Cuba kira, berapa banyak yang kita ada… keluarga? Sahabat? Pen? Buku? Ilmu? Teddybear? si dia yang kelima? …….. Huhuhu..... Baik jangan kira, mesti takkan terkira. Orang yg dapat kira, mesti benar-benar benci pada hidupnya. Orang tu mesti nk protes banyak benda yang dia tak ada. Perhatilah dengan teliti. Terlalu banyak perkara yang kita ada. orang yang dapat membaca coretan ini, mesti masih ada perasaan, masih ada fikiran, masih ada darah yang mengalir hangat, masih ada jantung yang berdegup, masih ada cell yang terbina, masih ada reseptor yang memberi rasa, masih ada jiwa yang bersatu dengan hati dan.. Kalian mungkin boleh sambung lagi.. Aku sentiasa percaya bahawa Allah yang Maha Pengasih ada menyediakan hikmah pada setiap kejadian. Jadi, bersyukurlah apabila ada dan bersyukurlah juga apabila tiada. Keduanya ada hikmah yang tersembunyi.

Ini perenggan terakhir.. Hehe.. Aku fikir aku hanya mencoret sedikit saja.. Tapi ini sudah lebih dari 'sekadar'.

Selagi kita memiliki sesuatulah kita akan kehilangan. Kalau tak ingin merasa kehilangan, jangan hidup. Kerana, pinjaman nyawa juga akan tamat tempoh. Hingga saat itu, kita akan merasa kehilangan yang sebenarnya. Hanya satu yang jadi milik kekal kita. Pada hari kebangkitan kelak, apabila segala yang ada telah tiada, kita akan dipanggil dengan nama yang diberi sejak kita lahir. Dan hanya itulah yang menjadi milik kita. Wallahu a'lam..